Johor Specialist Hospital (JSH) terus mengukuhkan komitmen dalam memacu kemajuan teknologi perubatan moden melalui pelaksanaan pembedahan berketepatan tinggi yang berfokuskan kepada keperluan dan kesejahteraan pesakit. Pada 8 Maret 2025, Johor Specialist Hospital telah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya melaksanakan prosedur pembedahan pertama menggunakan teknologi pembedahan robotik, Da Vinci Xi sekaligus membuka lembaran baharu dalam bidang pembedahan invasif minimum di negeri Johor.
Prosedur tersebut telah dikendalikan oleh Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Sharifah Shahirah Syed Hashim, dan ia bukan sahaja menjadi penanda aras kepada kemajuan perubatan di hospital ini, malah turut meletakkan Johor Specialist Hospital di hadapan dalam kalangan penyedia penjagaan kesihatan swasta di rantau ini. Sistem pembedahan robotik menawarkan pelbagai kelebihan klinikal yang signifikan, antaranya ialah visualisasi 3D berdefinisi tinggi, kawalan pergerakan instrumen yang lebih halus serta fleksibiliti dan ketepatan pembedahan yang sukar dicapai melalui kaedah konvensional.
Melalui pendekatan ini, pakar bedah dapat melakukan pembedahan dengan insisi yang lebih kecil, sekaligus mengurangkan trauma tisu, mengelakkan pendarahan berlebihan serta mempercepatkan proses pemulihan pasca pembedahan. Ini juga bermakna pesakit berpeluang untuk keluar hospital lebih awal, mengalami kesakitan yang lebih minimum, dan kembali menjalani kehidupan harian mereka dalam masa yang lebih singkat.
Bagi memperluas kesedaran dan pemahaman masyarakat serantau mengenai teknologi ini, satu ceramah kesihatan bertajuk "Pembedahan Robotik dalam Dunia Medis Moden" telah diadakan pada 13 Jun 2025 di Hotel Santika Batam Centre. Ceramah tersebut disampaikan oleh Dr. Sharifah Shahirah sendiri, yang turut berkongsi pengalaman peribadi beliau mengendalikan kes pertama pembedahan robotik di Johor Specialist Hospital. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan secara langsung kepada masyarakat Batam, khususnya wanita, mengenai kelebihan dan manfaat pembedahan robotik serta bagaimana ia dapat memberikan pilihan rawatan yang lebih selamat, cepat dan berkesan dalam pelbagai keadaan klinikal terutamanya berkaitan kesihatan reproduktif wanita.
Menurut Dr. Sharifah Shahirah, “Saya amat berbesar hati kerana telah diberi peluang untuk menjadi pakar bedah robotik pertama di Johor Specialist Hospital. Saya percaya bahawa kemajuan ini akan memberi manfaat yang signifikan kepada pesakit kami dengan meningkatkan ketepatan pembedahan dan kadar pemulihan yang lebih cepat.
Dalam kes pertama ini, pembedahan berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Pesakit kami telah membuat pemulihan yang sangat cepat dengan kehilangan darah yang minimum dan kesakitan pasca operasi yang ringan. Memandang ke depan, saya berharap dapat menawarkan perkhidmatan unik ini kepada lebih ramai pesakit kami dan ini akan menjadi legasi KPJ untuk kesihatan wanita.”
Teknologi pembedahan robotik kini tersedia di Johor Specialist Hospital untuk pelbagai prosedur dalam bidang ginekologi, urologi dan pembedahan am. Antara pembedahan yang telah dan boleh dijalankan menggunakan sistem ini termasuklah histerektomi, miomektomi, pembedahan endometriosis, rawatan kanser prostat. Peralatan robotik canggih ini mampu meniru pergerakan tangan manusia dengan kestabilan yang lebih tinggi, membolehkan pakar bedah melakukan pembedahan yang lebih kompleks dengan tahap keselamatan dan keberkesanan yang lebih tinggi.
Pelaksanaan teknologi ini secara langsung mencerminkan usaha Johor Specialist Hospital dalam mentransformasikan landskap perubatan melalui penggunaan inovasi canggih, sejajar dengan perkembangan global dalam bidang penjagaan kesihatan moden. Ia juga merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan Johor Specialist Hospital untuk memperkenalkan kaedah rawatan yang lebih mesra pesakit, efisien serta menjanjikan hasil klinikal yang lebih baik.
Sebagai salah sebuah hospital pakar swasta terunggul di bawah KPJ Healthcare Berhad, Johor Specialist Hospital kini mempunyai lebih daripada 90 pakar perubatan dalam pelbagai disiplin dan telah berkhidmat lebih 43 tahun dalam industri kesihatan. Johor Specialist Hospital terus menerajui kecemerlangan dalam penjagaan pesakit melalui penawaran rawatan komprehensif dalam bidang paru & jantung, rawatan kesuburan (IVF), cancer centre, stroke & bedah saraf & ortopedik,
Pengenalan teknologi pembedahan robotik ini bukan sahaja memperkukuhkan reputasi Johor Specialist Hospital sebagai peneraju dalam teknologi klinikal berinovasi tinggi, malah menzahirkan misi hospital dalam menyediakan rawatan bertaraf dunia kepada pesakit tempatan dan antarabangsa. Johor Specialist Hospital komited untuk terus memberi nilai tambah kepada sistem kesihatan negara serta menjadi simbol kebanggaan dalam bidang perubatan yang mementingkan keselamatan, hasil rawatan berkualiti dan pengalaman pesakit yang cemerlang.
